Sample Video
Friday, 14 December 2012
Posted by Unknown
No comments | 06:46
"Saidina Ali bin Abi Talib ialah khalifah agung dalam sejarah
pemerintahan Islam. Selepas peristiwa pembunuhan Khalifah Othman Affan,
beliau memegang teraju pemerintahan. Peribadi Ali bin Abi Talib
menghimpunkan pelbagai kelebihan iaitu sebagai sepupu Nabi Muhammad saw
dan menantu Baginda.
Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 23 sebelum hijrah. Beliau dididik
dan dibesarkan dalam pangkuan Nabi Muhammad saw, malah tidak pernah
berpisah dengannya. Ali ialah seorang daripada pahlawan Islam yang
terkemuka dan panji peperangan berada pada tangannya dalam sebahagian
besar peperangan. Beliau juga antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.
Ali menjadi khalifah dan pemimpin umat Islam selepas Saidina Othman
Affan gugur syahid. Peristiwa itu berlaku pada 24 Zulhijjah tahun 35
Hijrah. Dengan itu, Ali ialah khalifah pertama bagi umat Islam yang
berasal daripada keluarga Bani Hasyim yang juga menjadi nasab keturunan
Rasulullah.
Diriwayatkan oleh Abu Naim dalam al-Hilyah daripada Abu Sahih bahawa
Dhuraar Dhamrah mengetahui keperibadian dan cara hidup Ali. Menurutnya,
Ali ialah seorang yang amat jauh tujuan hidupnya dan bercita-cita
tinggi. Pemikirannya tajam dan amat kuat zahir dan batin. Beliau
menjauhkan diri daripada segala hiasan dan kemewahan hidup di dunia.
Selalu berpakaian sederhana dan memakan makanan biasa yang tidak
semestinya enak dan mahal. Pergaulannya seperti orang biasa walaupun
dilantik sebagai pemimpin. Beliau sering bertemu rakyat dan orang ramai
tidak ada sekatan atau takut untuk menemuinya. Ali akan menjawab apa-apa
yang ditanya kepadanya tanpa perasaan takut dan ragu-ragu. Beliau
memuliakan ahli agama dan orang yang warak, di samping menyayangi
golongan fakir miskin.
Sewaktu Ali diangkat menjadi Khalifah, ada penentangnya termasuk puak
Muawiyah hingga timbul perang saudara yang menyebabkan ramai terkorban.
Akhirnya Saidina Ali dibunuh oleh seorang pengkhianat. Tetapi setelah
Ali meninggal, Muawiyah berasa sedih kerana menentang orang yang baik.
Dia menyifatkan kewafatan Ali sebagai suatu kehilangan yang amat
berharga. Apa yang diucapkan terang dan jelas, adil sewaktu memberi
hukuman, ilmu pengetahuannya terpancar dari segenap bahagian badannya.
Beliau kuat bekerja tanpa mengira siang atau malam.
Kata-kata berhikmah lahir dari mulutnya. Apabila tersenyum seolah-olah
mutiara indah terpancar dari bibirnya. Ketokohan beliau memang tiada
bandingannya. Nasihat beliau juga menjadi pedoman dan panduan umat Islam
zaman berzaman.
- Peringatan buat dirimu yang mana pasar itu adalah suatu tempat yang boleh merosakkan akhlak.
- Sesuatu yang hendak dicapai oleh keelokan budi pekerti itu adalah rasa malu seseorang pada diri sendiri.
- Tiada pusaka peninggalan yang lebih bermanfaat daripada elok budi pekerti.
- Cucikan hati kamu dengan beradab seperti api membakar kayu.
- Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia, maka dia
hendaklah mengajar dirinya terlebih dulu sebelum mengajar orang lain.
- Dia hendaklah memperelok setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelok lidahnya.
- Sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih
layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan
memperelokkan manusia lain.
- Elok pekerti adalah gedung ketika berhajat padanya.
- Mutu setiap sesuatu itu dinilai pada kebaikannya.
- Apabila kamu letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya
keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal.
- Jika kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.
- Sekiranya kamu letih kerana melakukan sesuatu yang baik, maka
keletihan itu akan hilang dan perbuatan baik yang kamu lakukan terus
kekal.
- Jika kamu tidak mahu melupakan segala kebaikan yang dilakukan, maka kamu hendaklah mengulangi dalam membuat kebaikan itu.
- Ratapilah saudaramu dengan berbuat baik padanya dan jauhilah kejahatannya dengan bersedekah padanya.
- Sesuatu yang tidak elok untuk diperkatakan sekalipun ia benar iaitu puji diri sendiri.
- Seelok-elok kesihatan itu adalah memberi sesuatu dan ketaatan adalah gedung yang tidak akan musnah.
- Dua nikmat yang sering dilupakan adalah kesihatan dan keselamatan.
- Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai, tetapi bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti.
- Banyak berhutang akan menggelincirkan orang yang benar kepada pendustaan.
- Tepati janji adalah kembar kepada benar.
- Kemarahan orang yang berakal dilihat pada tindak-tanduknya dan
kemarahan yang ada pada orang jahil itu dapat dilihat melalui
perkataannya.
- Permulaan bagi perasaan marah itu adalah hilang pertimbangan, manakala penghabisannya pula adalah perasaan menyesal.
- Tidak dikira lemah lembut jika ia timbul ketika reda, tetapi lemah
lembut yang sebenar akan timbul ketika dalam keadaan marah.
- Sesiapa yang tunduk kepada perasaan marah menyebabkan akhlaknya kurang.
- Bagi setiap nikmat ada kunci yang membuka dan menyelaknya. Kunci pembukanya adalah sabar dan kunci penyelaknya adalah malas.
- Sesiapa yang malas tidak akan menunaikan tanggungjawabnya.
- Ketua kepada kejahilan itu adalah gedung kemalasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment